Khamis, 12 September 2013

LAWATAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI ALMARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH KE PULAU DUYONG, TERENGGANU


Tarikh : 1 September 2013

Masa: 2.00 hingga 3.30 petang

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berkenan mencemar duli bagi melawat Kapal Layar Pinis milik Kraftangan Malaysia di Bengkel Perusahaan Bot Pulau Duyong pada 1 September 2013 yang lalu. Dalam lawatan tidak rasmi ini, baginda telah membawa bersama Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri, Tuanku Nur Zahirah, Raja Muda Tengku Muhammad Ismail dan beberapa orang ahli keluarga baginda yang lain.

Rombongan baginda telah tiba dengan menaiki bot penambang dan diiringi oleh wakil syarikat konsultan yang telah dilantik oleh pihak Yayasan DiRaja Sultan Mizan. Kapal ini telah mula dibina oleh Encik Hasni Bin Ali pada tahun 2007 dan telah siap sepenuhnya pada Februari tahun ini.

Ketibaan baginda telah disambut dan diberikan taklimat berkaitan pembinaan kapal tersebut oleh Yang Berusaha Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu iaitu Encik Khairul Hafizi Bin Naharuddin berserta beberapa pegawai Kraftangan yang lain.

Secara peribadinya, baginda amat berminat dan berharap agar kapal layar milik Kraftangan Malaysia tersebut akan dapat digunakan sepenuhnya memandangkan ia telah dibina dengan kos hampir mencecah RM 2 juta. Baginda turut sudi untuk mencemar duli untuk belayar bersama kapal tersebut pada masa akan datang.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...