Selasa, 25 Januari 2011

Pemergian Pak Ali Pandai Besi

Pak Ali Pandai Besi

Pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu ingin mengucapkan takziah ditujukan khas untuk keluarga kepada Encik Ghazali Bin Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Pak Ali Pandai Besi yang telah pun kembali ke Rahmatullah pada awal Disember 2010 yang lalu. Allahyarham merupakan seorang pengusaha kraf dalam bidang logam (pembuatan keris dan parang) dari Negeri Terengganu melalui syarikatnya yang bernama Pak Ali Pandai Besi yang beralamat di No.300, Jalan Damai, Felda Neram 1, 24060 Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Allahyarham telah banyak berjasa dalam memartabatkan seni kraf yang telah lama diceburinya dan sangat komited dengan penyertaan program promosi anjuran Kraftangan Malaysia sepanjang tahun. Program promosi terakhir yang disertai sebelum pemergiannya adalah Program Festival Songket, Batik & Kraf Terengganu 2010 pada 25 November hingga 5 Disember 2010 yang lalu bertempat di Pusat Dagangan Terengganu. Kini perniagaannya telah disambung dan diuruskan oleh anaknya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diharapkan dengan pemergian beliau ini, akan mencetuskan semangat yang kuat lagi dikalangan generasi muda masa kini untuk meneruskan bidang seni warisan pandai besi di masa hadapan.










Khamis, 6 Januari 2011

Temasya Pantai Timur




Temasya Pantai Timur merupakan satu program anjuran Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Terengganu yang telah diadakan pada 9 hingga 11 Disember 2010 yang lalu bertempat di Padang Sebelah JKKN Negeri Terengganu, Taman Budaya Negeri Terengganu, Kuala Ibai. Program ini dirasmikan oleh Menteri KPKK, Y.B. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Bin Yatim dan Menteri Besar Terengganu, Y. B. Dato’ Ahmad Bin Said pada jam 5.00 petang, 9 Disember 2010. Perasmian tersebut disambut secara meriah dengan disertai acara pergendangan teramai di Malaysia yang direkodkan di dalam Malaysia’s Book Of Record. Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu juga membantu menjayakan perasmian yang gemilang ini dengan mengambil peranan dalam persiapan hiasan dan keceriaan pentas untuk program ini atas permintaan JKKN Negeri Terengganu dan penyertaan pameran.

Penyertaan program ini melibatkan semua pameran jabatan dan agensi di bawah KPKK dan juga pengusaha-pengusaha yang dibawa dari Negeri Kelantan dan Pahang serta pengusaha-pengusaha makanan tradisional dengan tujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan lagi tentang keunikan budaya & tradisi negeri-negeri di pantai timur. Di dalam program yang begitu unik ini, booth Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu mempamerkan semua produk-produk seni kraf Terengganu, satu jualan batik (Syarikat Nozi Batik) dan dua demonstrasi kraf (tenunan songket Terengganu & batik canting).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...